Friday, 21 March 2025

Sejarah Temasya Aidilfitri

 




Temasya Aidilfitri adalah sebuah rancangan hiburan khas Hari Raya Aidilfitri yang diterbitkan oleh Radio Televisyen Malaysia yang membariskan persembahan lagu-lagu raya dan sketsa secara tahunan untuk hiburan seisi keluarga. Rancangan ini mengumpulkan ramai artis dan bersiaran secara langsung pada malam hari raya pertama. Turut ditampilkan dalam rancangan ini adalah persembahan perdana di kaca televisyen mana-mana artis rakaman dengan lagu baharu masing-masing.


Sejak era 70an, rancangan konsert khas Aidilfitri mula bersiaran di kaca TV RTM secara rakaman dan semakin rancak menjelang 1990. Pada tahun 1989, buat pertama kali siaran langsung konsert muzikal Simfoni Aidilfitiri dianjurkan oleh RTM ditayangkan di kaca televisyen dengan diterajui oleh Biduanita Sharifah Aini.



 Kemudian, RTM memperkenalkan konsep baharu di mana barisan artis dan pelawak diundang menjayakan konsert yang menggabungkan lagu pop terbaru dan lagu hari raya sendiri pada tahun 1992. Ketika itu ia diberi nama sebagai "Variasi Aidilfitri". Bertitik tolak daripada kejayaan rancangan itu, RTM memperkenalkan konsert "Temasya Aidilfitri" padai tahun berikutnya sebagai salah sebuah program konsert hari raya secara tahunan dengan mengekalkan konsep yang hampir sama





Sejarah awal


Sejak mula bersiaran dalam bentuk warna, RTM cuba mencipta kandungan khas bertemakan hari raya dengan membawa konsep muzikal. Hampir kesemua rancangan terawal ini dirakam terlebih dahulu memandangkan kos membuat siaran langsung yang cukup tinggi ketika itu, disamping komitmen untuk mendapatkan barisan artis berkonsert pada hari perayaan. Hanya pada tahun 1989 RTM mengambil langkah untuk menjadikan konsert perayaan ini sebagai program siaran langsung dan menjadi titik mula tercetusnya idea "Temasya Aidilfitri".



Bermula pada 1993 RTM mengekalkan nama "Temasya Aidilfitri" untuk rancangan khas konsert hari raya ini. Ia biasanya bersiaran pada hari raya kedua ataupun ketiga. Rancangan ini tidak diteruskan lagi sejak 2003 setelah 10 tahun bersiaran dengan 11 edisi termasuk dua kali dianjurkan pada tahun 2000. Pada tahun 2017 RTM cuba mengembalikan semula rancangan ini namun ia tidak mendapat sambutan kerana format drama muzikal ala "Mekar Sejambak" yang ditampilkan tidak begitu menarik perhatian.




No comments:

Post a Comment