RAIH 1 JUTA JUALAN PRODUK DALAM TEMPOH PKP

OLEH: SUHARNE ZAINUDIN

Susulan perniagaan kosmetik yang dijalankannya terjejas, Dania Sedek langsung mengubah strategi dengan menjual topeng muka dan produk sanitasi.

Gadis berusaha 24 tahun itu berkata, beliau berbuat demikian selepas melihat permintaan terhadap dua produk berkenaan tinggi terutamanya apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Biarpun keadaan pada ketika itu amat mencabar, saya enggan berpeluk tubuh tanpa bertindak.

“Lagipun, saya percaya kedua-dua produk ini merupakan salah satu keperluan ramai selain makanan,” katanya.


 


Pemilik syarikat Beauty By Dania Sdn Bhd itu berkata, beliau mula memasarkan topeng muka,  produk sanitasi dan sarung tangan getah sekitar 23 Mac 2020.

Sejak itu, katanya, perniagaan baharu berkenaan mendapat sambutan di luar jangkaan

“Dalam tempoh PKP saya berjaya meraih satu juta jualan berbanding 100 ribu sebelum PKP dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, ketika menghadapi keadaan mencabar sebegini, seseorang usahawan dan peniaga perlu cekap serta pantas berfikir seterusnya tidak bertangguh untuk cuba teroka peluang perniagaan baharu.

 

“Saya sendiri yang sebelum ini fokus kepada bisnes kosmetik telah mencabar diri meneroka segmen lain dengan memasarkan produk topeng muka, hand sanitiser dan sarung tangan getah.

“Ketika mengambil keputusan itu saya tidak teragak-agak kerana sebagai peniaga kita harus peka dan sentiasa perlu mengawal pemikiran. Jika mengatakan kita boleh buat, maka tiada yang mustahil,” katanya.

Katanya, beliau percaya kejayaan sesebuah perniagaan itu bergantung kepada cara pemiliknya berfikir dan berusaha selain yakin perancangan ALLAH adalah yang terbaik.

Tambahnya, seseorang ahli perniagaan juga tidak mempunyai perkataan putus asa dalam hidupnya.


Credit:https://www.bisnessinar.com/raih-1-juta-jualan-produk-dalam-tempoh-pkp/

Comments

Popular Posts