Gempa bumi Segamat: 15 bangunan kerajaan rosak, baik pulih setengah juta



 SEGAMAT - Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000, susulan gempa bumi lemah yang melanda daerah itu bermula 24 hingga 30 Ogos lepas.




Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, laporan itu hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 Sept lepas ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah-sekolah dan kuarters kerajaan.



Kebanyakannya adalah keretakan sedia ada yang mengalami pertambahan kuantiti retak susulan gegaran gempa, kerosakan berimpak kecil dan tidak menjejaskan integriti struktur bangunan.


"Bangunan ini juga masih selamat digunakan dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna dan pengguna bangunan juga telah diingatkan untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling dan melaporkan kepada JKR sekiranya ada penemuan baharu,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat berkaitan bencana itu dan melawat bangunan kerajaan yang mengalami kerosakan susulan gempa tersebut.





Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan peruntukan daripada kementerian yang terlibat dan JKR memberikan sokongan teknikal bagi memastikan proses itu berjalan lancar.


"Bilik Gerakan Bencana JKR juga telah diaktifkan serta-merta bagi memantau situasi 24 jam sehari semenjak gempa pertama dilaporkan pada 24 Ogos lepas.
"JKR Segamat ketika ini sedang memperincikan laporan serta cadangan kerja pembaikan di samping meneruskan pemantauan rapi terhadap aset jalan dan jambatan," katanya.



Selain bangunan, pemeriksaan mendapati tiada kerosakan dilaporkan pada aset jalan dan jambatan hasil pemantauan terhadap 325 kilometer jalan Persekutuan, 242.11 kilometer jalan negeri serta 71 jambatan dan jejantas dalam radius gempa bumi, katanya.
Ahmad berkata, faktor seismik telah diambil kira dalam reka bentuk bangunan kerajaan dan jambatan sejak penguatkuasaan MS EN 1998 National Annex pada September 2017.

Comments

Popular Posts