DIARI SEORANG LELAKI..

Cleaner.
.
.
Selama 4 malam berada di dalam wad. Pelbagai peristiwa pahit manis, suka dan duka berlaku.
Hari kedua. Saya terus diarahkan untuk berpuasa, bagi proses pembedahan yang akan dilakukan pada bila-bila masa.
Perasaan ? Memang seram dan gementar.
Apatah lagi apabila memikirkan tentang - Bilik Bedah.
Jam 9 malam. Doktor datang dan membuat pemeriksaan berkala.

Hati ini sudah semakin resah. 'Adakah mereka akan melakukan pembedahan pada malam hari?' bisik hati saya sendirian.
Rupa-rupanya, Doktor memberikan nasihat ringkas. Pembedahan terpaksa ditangguhkan, kerana mereka terpaksa mengutamakan pembedahan untuk kes kritikal.
Saya hanya mampu mengangguk lemah.
Datang seorang jururawat menyarankan agar saya makan dan minum. Ini bermakna, saya terpaksa 'buka puasa sementara.' dan akan memulakan puasa jam 2 pagi.
Rupa-rupanya khabar itu sebenarnya lebih memeritkan.
Jam 9 malam. Siapa yang nak tolong belikan makanan untuk saya ?

Saya hubungi anak-anak di rumah. Mereka bersetuju untuk membawakan roti dan minuman, tetapi perlu tunggu hingga hujan reda.
Hujan turun dengan lebat, selebat-lebatnya. Sedangkan anak-anak saya akan datang dengan motor.
Terasa kasihan dengan mereka. Tetapi, dalam masa yang sama perut terasa amat-amat lapar.
Saya pandang keliling. Yang kelihatan ialah para petugas hospital - Doktor, Jururawat dan Cleaner.

Takkan nak minta bantuan Doktor atau Jururawat untuk membelikan makanan ?
Untuk makluman. Pada malam itu. Kaki saya juga bengkak akibat terjatuh. Gigi yang berlubang menambah denyutan kesakitan.
Dan, bengkak di belakang badan menambah derita.
Hujan turun menggila di luar. Air mata saya juga mengalir deras.
Sakit dan kebuluran yang teramat sangat.
Saya beristighfar dalam sendu. Ya Allah, aku sakit. Ya Allah, aku lapar.
Itulah wirid saya malam itu.
Sedang saya duduk merintih kepada tuhan. Tiba-tiba saya disapa oleh Cleaner yang bertugas.
"Encik, saya kasi ubah encik punya kasut ... saya mahu mop."
Saya hanya mengangguk lemah.
Tiba-tiba sahaja meluncur soalan dari mulut saya. "Awak sudah makan?"
"Sekejap lagi saya makan." jawab Cleaner itu dengan senyuman.
"Awak makan dimana? awak pergi kantin tak?"
Cleaner itu mengangguk.



Lalu saya memohon sedikit belas ehsan darinya untuk membelikan sebungkus roti dan minuman panas.
Tidak sampai 10 minit. Cleaner itu datang kembali ke katil saya, mengambil wang dan terus berlalu.
"Duit baki, awak beli makanan untuk awak."
Cleaner itu tersenyum.
Tidak sampai 20 minit. Cleaner itu kembali dari kantin. Menyerahkan makanan yang saya pesan.
Dan dipulangkan kembali wang yang saya berikan.
Saya tergamam. "Eh, kenapa bagi balik semuanya ...?"
"Tarak apa encik, tadi ada satu orang Doktor banyak baik, saya punya roti, encik punya roti, dia kasi bayar semua ..." jawab Cleaner itu menjelaskan kemusykilan yang melanda.
"Sebab, hati awak banyak baik, mau tolong sama orang, you tengok, ada orang lain sudah kasi belanja makan."
Cleaner itu menggelengkan kepala dengan gembira dan terus berlalu.
Saya membuka plastik roti dan makan dengan lahap sekali.

Ya Allah, TERIMA KASIH kerana memberikan aku rezeki.

Comments

Popular Posts